Wednesday, January 23, 2008

Jahiliyah...(1)

Sejak kecil lagi, Muhammad S.A.W. sangat terkenal dengan sifatnya yang sangat jujur dan menepati janji. Cuba bayangkan sejenak keadaan zaman jahiliah sebelum baginda diutuskan menjadi rasul. Keadaan yang sangat teruk. Orang yang dapat membezakan antara hak dan kebatilan seakan-akan sudah pupus. Golongan bangsawan melayan hamba-hamba mereka seperti kanak-kanak bermain dengan alat permainan mereka. Hartawan pula sibuk mengumpul harta seperti tiada benda lain yang lebih bernilai. Kerosakan akhlak dan kemerosotan nilai harga diri sudah parah. Tidak cukup anak perempuan ditanam hidup-hidup, wanita pun boleh diwarisi seperti harta benda yang lain. Arak, zina, rompak, bunuh, dan semua jenayah adalah satu lumrah. Mengikut lumrah hutan, 'yang kuat membaham yang lemah' dan tiada peraturan yang lain. Betul-betul primitif.

Kemudian, kita bayangkan pula keadaan Muhammad S.A.W. pada ketika itu. Baginda disanjung, sangat dihormati oleh semua lapisan masyarakat jahiliah tidak kira bangsawan atau hamba. Baginda sangat dikasihi oleh masyarakat. Baginda jugalah yang menyelesaikan perbalahan antara ketua-ketua kabilah Arab untuk meletakkan batu Hajarul Aswad. Baginda sangat ihsan terhadap orang fakir miskin. Walaupun baginda seorang anak yatim, baginda sangat pakar dalam perniagaan. Sejak 20an lagi, baginda sudah diberi kepercayaan penuh untuk membimbing kafilah perdagangan Siti Khadijah R.A.. Pada ketika itu, baginda punyai semua. Baginda ada harta dan nama yang sangat mulia dalam masyarakat sebagai seorang yang digelar al-Amin.

Masyarakat jahiliah mempercayai Muhammad S.A.W. secara total dan ini terbukti apabila ramai yang berjumpa dengan baginda meminta supaya 'tolong' dijagakan harta mereka semasa berpergian untuk berniaga atau pergi ke tempat yang jauh. Mereka terpaksa mencari orang yang boleh dipercayai kerana pada zaman itu, tiada jaminan keselamatan rumah mereka daripada diceroboh pencuri. Tiada rumah yang kukuh daripada dipecah masuk, tiada mangga untuk mengunci pintu yang selalu terbuka.

Selepas itu, kita telusuri pula kisah dakwah baginda. Kisah dakwah selepas Allah mewahyukan dakwah secara terbuka kepada baginda. Tanpa berlengah, baginda mengumpulkan semua ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang rapat di bukit safa. Kemudian,

Ibnu Abbas r.a. telah menceritakan bahawa pada suatu hari Nabi s.a.w. telah naik ke Bukit Safa, lalu beliau berseru; “Hai orang-orang berkumpullah di pagi hari ini.” Lalu orang-orang Quraisy berkumpul mengerumuninya. Nabi s.a.w. melanjutkan pembicaraannya; “Bagaimana pendapat kalian, jika aku beritakan kepada kalian bahawasanya musuh datang menyerang kalian di waktu pagi ini, atau menyerang kalian pada waktu petang nanti, apakah kalian akan mempercayaiku?” Mereka menjawab; “Tentu saja kami percaya kepada kamu.” Nabi s.a.w. melanjutkan pembicaraannya; “Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi ingatan kepada kalian di atas azab yang keras.” Lalu Abu Lahab menjawab; “Celakalah kamu ini, apakah untuk ini kamu mengumpulkan kami?”

Eh, bukankah sebentar tadi Muhammad S.A.W. sangat dipercayai? Tiada satu kalimahpun yang akan disangkal kesahihannya oleh orang lain, mereka sepatutnya sangat mempercayai baginda. Mengapakah peristiwa diatas berlaku? Cuba kita fikirkan sebentar, apakah yang dimahukan oleh Abu Lahab? Mungkinkah hanya kerana telah ditakdirkan untuk menjadi musuh utama baginda? Ataupun mungkinkah kerana musuh Allah itu yakin bahawa anak saudaranya sedang menipu ataupun sudah gila?

Sudah pastinya tidak. Jadi, ulangi semula pembacaan anda. Cuba carikan apakah sebabnya. Insya-Allah lain kali, saya akan lengkapkan tulisan ini.

0 maklum balas:

Powered By Blogger
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template