Monday, January 28, 2008

Penyakit Hati....(Pengenalan)

Jika pada suatu hari, kita dapati kereta yang kita pandu mati dengan tiba-tiba, pasti kita tahu bahawa kereta tersebut sedang mengalami kerosakan. Kalau tidak keretapun, apa-apa peralatan elektronik di rumah kita yang tidak dapat berfungsi lagi, apabila dihidupkan sudah tidak dapat beroperasi. Kita dengan segera dapat mengesan bahawa ada masalah dengan peralatan tersebut. Bukan kita tahu apakah kerosakannya(kecuali orang yang arif), tetapi kita sedar ada kerosakan padanya.

Kemudian pada suatu hari, kita dapati tangan kita sudah tidak mampu lagi untuk menyuap makanan ke dalam mulut. Pastinya kita sedar bahawa tangan kita sudah rosak(atau yang lebh tepat, tidak dapat berfungsi). Kita pasti dapat mengesan masalah yang kita hadapi jika pada suatu hari, kita tidak dapat mendengar, merasa ataupun kita tidak dapat melihat lagi sebaik sahaja bangun daripada tidur.

Jika tidakpun, apabila kita merasa sakit seperti demam, sakit perut, muntah-muntah, ataupun rasa sakit pada mana-mana anggota badan, kita pasti mengetahui bahawa ada masalah dalam diri kita. Sebagai manusia yang normal, kita pasti akan berusaha untuk mencari penawarnya. JIka penyakit itu serius, mengkin kita akan terus berjumpa dengan doktor. Tetapi, bagaimana pula jika kita menghidap penyakit hati? Bukannya tiada orang yang menghiraukannya, tetapi tidak begitu ramai.

Anda pasti bersetuju jika saya katakan bahawa barang yang tidak dapat memenuhi matlamatnya diciptakan sudah rosak. Jika peti sejuk sudah tidak mampu untuk menyejukkan makanan, maka ia sudah rosak. Atau jika kereta sudah tidak boleh bergerak, pasti sudah rosak. Dan jika seseorang itu tidak dapat berfikir bagaimana untuk menjaga dirinya, maknanya akalnya sudah rosak(kecuali kalau masih belun pandai berfikir seperti bayi).

Sekarang cuba fikirkan, apakah fungsi atau matlamat hati diciptakan. Pastinya untuk merasa sifat belas kasihan dalam diri, untuk merasa takwa kepada Allah, untuk merasa malu untuk melakukan kesalahan. Cuba fikirkan pula betapa ramai manusia yang tiada rasa belas kasihan dalam diri mereka. Betapa ramai manusia yang berani mencabar kuasa Allah, dan betapa ramai pula manusia yang melakukan kesalahan dengan rasa bangga.

Apabila barang kita rosak, kita akan cuba untuk baikinya(jika perlu). Jika kita menghadapi penyakit, kita akan cuba untuk mencari penyembuhnya. Walaupun penyakit yang mustahil untuk diubatipun, kita akan cuba untuk mengurangkan rasa sakit atau kesan penyakit tersebut terhadap jasad kita. Namun, jika hati kita yang rosak, tidak ramai yang ambil peduli. Tidak ramai yang cuba mencari penawar, tidak ramai yang sedar atau tahu siapakah doktor kepada pemyakit hati tersebut. Adakah patut kita katakan yang hati kita ini tidak penting? Atau mungkinkah kita sememangnya tidak perlukannya dalam diri kita?

Penyakit hati sangat berbahaya kerana ianya adalah penyakit batin. Kadang kala kita tidak sedar. Sebagai contoh, penyakit sangka buruk terhadap orang lain dan panas baran tidak kene tempat. Hinggakan kita tidak dapat menerima teguran orang lain terhadap diri kita kerana kita tidak sedar akan kesalahannya. Contoh yang lain pula, adanya rasa ujub atau riak dalam diri. Sememangnya kita sedar apabila hadirnya perasaan tersebut dalam diri, namun ramai yang menganggapnya sebagai perkara biasa. Hal ini demikian kerana mungkin agak sukar untuk membuangnya, atau tiada sesiapa yang tahu dan mereka jadi 'malas' untuk ambil kisah terhadap perkara tersebut. Jadi, kita rasa bahawa masalah tersebut layak untuk diketepikan ianya satu kebiasaan. Dan lama-kelamaan, ianya sudah seperti lumrah dalam hidup kerana sudah sebati dengan diri.

Sampai sini sajalah saya menulis pada hari ini. Nantikan sambungannya pada edisi akan datang...

0 maklum balas:

Powered By Blogger
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template