Thursday, January 31, 2008

Seni Khat

Saya sangat meminati seni khat atau kalligrafi arab. Antara lapan orang adik-beradik saya, saya punyai dua abang yang pandai menulis khat. Jadi, sebelum saya tahu apa itu khat, sudah tertanam sedikit perasaan untuk mempelajarinya. Alhamdulillah saya dapat menyambung pelajaran di sebuah sekolah agama kerajaan negeri(SMAKJ) di Johor. Seni khat adalah salah satu daripada madah SMRA, namun apabila saya memasuki sekolah tersebut, Jabatan Agama Johor sudah hazafkannya daripada madah perperiksaan. Mungkin ada sebab yang menjadikannya suatu yang perlu. Saya tidak mahu mengulasnya di sini.

Walaubagaimanapun, saya gembira kerana madah Seni Khat masih ada dalam jadual pembelajaran(walaupun hanya 1 atau 2 masa setiap minggu). Oleh kerana waktu pembelajaran yang sangat singkat, saya lebih merujuk buku kaedah seni khat untuk mempelajarinya. Teringat saya pada sebab yang menjadikan saya sangat berminat untuk mendalami seni khat pada ketika itu. Saya dapat membuat ekor huruf waw nasakh tanpa melukisnya. Hahaha, lucu betul apabila saya ketika itu merasakan yang sayalah yang paling pandai menulis khat dalam banyak-banyak rakan yang lain. Maklumlah, semua tidak pernah belajar khat dan seingat saya tiada satupun antara mereka yang boleh saya jadikan guru. Hal ini berbeza dengan 'batch-batch' lain yang sudah ada yang pandai.

Walaupun kelakar, namun keadaan itulah yang menaikkan semangat saya untuk mendalami ilmu seni khat. Tambahan pula, apabila saya mewarisi buku khat karya Mustafa Saad daripada abang saya. Saya rasa malu untuk mempelajarinya ketika berada di dalam kelas kerana saiznya yang agak besar(originallah katakan). Sayapun tidak tahu mengapa, tetapi saya memang sangat bersemangat untuk mempelajari seni khat pada ketika itu(hingga kini) walaupun rakan-rakan yang lain sudah tidak hiraukannya lagi. Kecuali dua-tiga orang rakan saya.

Namun, apabila tiada guru yang rasmi untuk mengajar, kejap-kejap rasa bosan itu muncul. Maklumlah, rakan-rakan yang lain nampak tidak berminat untuk belajar dan saya rasa hanya saya seorang sahaja yang mempelajatinya dalam kelas(atau prep). Saya sangat pemalu, jadi saya tidak meminta abang-abang senior untuk mengajar, lagipun saya tidak beberapa rapat dengan mereka. Antara yang terkenal pada masa itu, Abg. Effy Saiful, Abg. Anuar Iberahim, Abg Faiz, Abg. Azhari, Abg. Baihaqi, dan beberapa lagi yang saya sudah lupa nama mereka.

Teringat lagi, akibat fanatiknya saya dalam seni khat, rakan-rakan saya selalu menegur kerana saya selalu berlatih menulis khat walaupun ketika itu PMR sudah sangat hampir. Sampaikan pelajar perempuan dalam kelas saya juga ada yang menegur saya kerana selalu sangat menulis khat. Kemudian, ada seorang ustaz meminta saya menghasilkan banner dalam tulisan jawi. Oleh sebab rakan-rakan saya yang lain tidak tahu menulis khat, jadi saya buat banner tersebut seorang diri. Mungkin kerana tidak pernah(agaknya) buat banner sebelum itu, saya mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya. Sehinggakan seorang pengawal sekolah yang kenal dengan ayah saya menegur saya. Kerana setiap malam dia melihat saya menyiapkan banner tersebut walaupun PMR sudah dekat.

Saya sangat gembira mempelajari seni khat. Saya juga pelik kerana saya yang terkenal dengan tulisan cakar ayam saya, boleh komited mempelajarinya. Sejak daripada sekolah rendah sehingga tingkatan lima, guru-guru saya selalu menegur tulisan saya. Oleh sebab kekerasan tangan dan ketidaksenian diri saya, saya terpaksa berlatih lebih untuk memahirkannya. Pada ketika itu, saya gunakan pen khat yang sudah siap dengan dakwat, bukannya buluh atau resam. Jadi, seingat saya, apabila saya memasuki tingkatan tiga sahaja, sudah lebih 20 batang pen khat yang sudah kehabisan dakwat dalam koleksi yang saya simpan. Yalah, saya tiada guru yang mengajar saya bagaimana hendak menggunakan handam.

Itulah sedikit sebanyak sejarah bagaimana saya mempelajari ilmu seni Islam yang bernilai ini.

0 maklum balas:

Powered By Blogger
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template