Showing posts with label Fikrah. Show all posts
Showing posts with label Fikrah. Show all posts

Wednesday, March 25, 2009

Ideologi


Satu.

Manusia adalah makhluk yang berfikir; mampu dan perlu berfikir.

Dua.

Masalah yang dihadapi oleh umat zaman ini adalah antara mereka tidak pandai berfikir atau mereka memang malas nak berfikir kalau tidak pun, mereka salah cara berfikir.

Tiga.

Kita cuba bawakan sesuatu untuk dijadikan gambaran. Semasa pemerintahan khilafah Islamiyyah dipengaruhi oleh pemikiran Muktazilah, ramai ilmuan besar Islam pada masa itu diseksa dan dipenjara kerana mempertahankan aqidah Islam yang sebenar; (contoh) antara pendirian yang cuba dipertahankan adalah al-Quran (baca: bukan helaian mashaf) itu bersifat qadim dan bukan makhluk. Penyeksaan dan penindasan yang berlaku ini bukan dilaksanakan oleh pemerintah 'kafir', tetapi oleh khalifah 'Islam' yang terpengaruh dengan fahaman muktazilah. Itu dulu...

Empat.

Sekarang pula, cuba kita perhatikan kembali, dimanakah pemikiran yang salah ini? Kalau mahu dicari contoh yang mudah, pastinya ideologi-ideologi barat adalah contoh yang sangat jelas. Walaupun banyak juga manusia jahil yang mengaku Islam tapi mendokong kuat ideologi-ideololgi tersebut.

Lima.

Teringat saya semasa belajar di Kisas dulu. Ketika itu tingkatan 4, saya masuk sebagai pelajar 2nd intake. Disebabkan lambat, saya tertinggal satu program yang sangat berharga yaitu KPTI (Kem Pemantapan Tarbiyyah Islamiyyah). Namun (sekarang) bukanlah saya mahu ceritakan tentang rasa rugi saya itu. Pada awal kemasukkan saya, Badar (Badan Dakwah dan Rohani) mengajurkan satu program; Minggu Fikriyyah. Pada waktu itu, kami semua didedahkan tentang ideologi (antara yang dikupas: maksud ideologi, adakah Islam itu satu ideologi dan contoh-contoh ideologi). antaranya, sekularisme, pluralisme, hedonisme, liberalisme, kapitalisme, patriotisme, feminisme dan nasionalisme.

Enam.

Ketika itu, tidaklah menjadi masalah bagi kami untuk menerima penerangan senior tentang ideologi-ideologi tersebut menurut perspektif yang diberikan oleh mereka (walaupun tak faham sangat pun). Pendirian yang diangkat pada waktu itu adalah penolakan secara langsung terhadap semua ideologi-ideologi yang tersebut, bertunjangkan kepada (satu ayat) al-Quran:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu."

Namun begitu, apabila sampainya perbahasan tentang ideologi nasionalisme dan patriotisme, wujudlah (sedikit) pertikaian antara senior (F5) dan kami (F4). Senior kami menolak ideologi yang dua ini dengan berdalilkan dalil naqli yang telah saya nyatakan di atas. (Sebahagian) kami pula tidak bersetuju. Ketika itu, antara alasan kami (yang tak faham) yang famous adalah Rasulullah sendiri sayangkan negara dan tanah airnya sendiri, mengapa tidak kita?

Cuba fikirkan kembali apa salah kami? Islam itu fleksible dan kita menerima segala perkara yang baik selagi tidak menyalahi syariah. Apa salahnya pendirian untuk menyayangi bangsa dan negara sendiri? Tidak samakah dengan kita menyayangi sahabat, jiran atau keluarga kita sendiri? Dimana dalil yang menolaknya?

Perbahasan berlaku bukan hanya semasa majlis penerangan (ketika itu, di floor masing-masing); ada sahabat kami yang kurang yakin dan mendapatkan penjelasan daripada guru-guru di sekolah. Kemudian, bila masa Liqa' al-Mulk tiba, mereka berbahas kembali dengan senior yang ada. Sebenarnya saya tidaklah ingat sangat tentangnya (baru masuk time tu, jadi blurr), namun apa yang ingin saya katakan disini adalah situasi di sebuah sekolah agama SBP. Kami sendiri tidak faham. Bukanlah saya mahu katakan kami ini pandai sangat. Namun bagi saya, cukuplah diri kami yang sudah diberikan penerangan, tapi tidak faham juga menggambarkan situasi sahabat-sahabat lain yang tidak ada peluang untuk mengetahui apakah itu ideologi. Bagaimanakah mereka mahu melawan serangan pemikiran ini?

PERSPEKTIF PERIBADI

Ideologi mengikut apa yang saya faham, adalah pegangan dan prinsip yang mempengaruhi kita dalam berfikir tentang sesuatu dan memberi kesan terhadap pendirian dan cara kita menanggap sesuatu. Disini kita bercerita tentang ideologi barat (mungkin sebab berpunca daripada negara barat). Kesannya kita boleh lihat dalam sistem. Pastinya kita pernah dengar tentang sistem politik sosialis dan komunis, sistem ekonomi kapitalis, dan ada juga parti politik yang berpegang kepada ideologi liberal, kalau tidakpun, Islam liberal dan negara sekular.

Kemudiannya, ideologi-ideologi yang tersebut ini dihasilkan daripada buah fikiran manusia. Yang saya tahu, Komunisme daripada Karl Marx, Sekularisme pula dapat kita lihat (dalam buku Sejarah SPM) semasa orang Kristian menyalahkan institusi gereja mereka yang menyekat kemajuan dan menentang dengan nama Protestan; jadi muncullah pegangan bahawa agama perlu diasingkan daripada kehidupan untuk mencapai kemajuan, dan yang lain carilah sendiri.

Manusia penuh dengan kekurangan dan kelemahan, jadi, pastinya segala perkara yang datang daripada mereka tidak dapat mencapai kesempurnaan; pasti ada cacat-celanya. Kecualilah kalau memang Allah nak beri kesempurnaan itu lainlah. Walaupun mereka (pendokong ideologi) mendakwa bahawa kajian dan penyelidikan telah dibuat dengan mendalam, namun hakikatnya kemampuan manusia itu terbatas. Masalah ini semakin serius apabila mereka tiada panduan yang solid (al-Quran dan Sunnah Rasulullah) dalam berfikir. Pemikiran yang terbatas ini bukan sahaja mendatangkan kesilapan dalam sistem pemikiran (ideologi) tersebut, tetapi juga menyebabkan prinsip yang ingin diketengahkan hasil daripada pemikiran tersebut itu tidak seimbang.

Saya memberikan contoh: Ideologi liberalisme mencambahkan hak asasi dan kebebasan individu. Memanglah bagus apabila kita memperjuangkan kebebasan dan hak kita sebagai individu manusia, namun masalah timbul apabila kita tidak seimbangkan dengan hak masyarakat dan dunia terhadap diri kita. Walaupun kita katakan bahawa kitalah yang berhak sepenuhnya terhadap diri kita, takkanlah kita nak terus ketepikan hakikat bahawa kita perlu berkhidmat untuk ibu bapa yang dah melahirkan dan menjaga kita; di mana kita mahu letakkan perkara tersebut.

Baiklah, mereka pun kata, "kami dah kaji dah semua tu, kami memang ambil kira semua tu, yang hak adalah hak". Apa yang saya nak jawab? Em, kalau kita belajar Sains, kita boleh buktikan kesahihan sesuatu fakta itu melalui eksperimen.

Tetapi, kalau kita belajar tentang budaya dan nilai?
Ideologi-ideologi yang tersebut terlalu banyak mempengaruhi kita dalam menentukan nilai dan ketuhanan. Saya bagi contoh; Antara makan dengan menggunakan tangan dan sudu, mana yang lebih sopan? Kita orang Islam kata makan gunakan tangan, tapi orang barat kata makan gunakan sudu lebih sopan. Dalam pemikiran komunis, tuhan tidak wujud. Dalam pemikiran liberal, setiap manusia mempunyai hak secara total terhadap dirinya, tuhan sendiripun tiada hak terhadapnya. Dalam pemikiran pluralisme (dari sudut beragama), setiap agama adalah sama; tiada agama yang paling baik dan tepat kerana semua agama membawa kepada kebaikan dan betul. Sampai terjadinya kahwin campuran (lain agama) seperti yang berlaku di negara jiran.

ASPEK NILAI DAN KETUHANAN

Nilai dan ketuhanan hanya boleh ditentukan oleh al-Quran dan al-Hadis. Sebagai contoh, nilai kemasyarakatan bagaimanakah yang kita perlu aplikasikan adalah berdasarkan sumber rujukan yang utama ini. Jika prinsip Human Right melarang daripada kerajaan menguatkuasakan akta tentang moral individu, Islam tidak. Jika anda melakukan perlakuan sumbang ataupun zina, anda akan dikenakan tindakan.

Dari sudut ketuhanan pula, cuba kita bayangkan apabila semuanya kita perlu fikirkan dengan akal semata-mata. Pastinya kita akan menyeleweng daripada kebenaran. Tuhan itu Maha Esa dan bijaksana. Tuhan itu bersifat Maha Pengasih dan Maha Pemurah. Bagaimana kita nak tahu semua ini jika bukan Tuhan sendiri yang beritahu kita? Jadi di mana rasionalnya pegangan Komunisme tentang ketuhanan itu adalah betul. Di mana buktinya? Ini semua hanya sekadar andaian manusia semata-mata yang menjadikan nafsu dan kepentingan diri sebagai tunjang kepada setiap keputusan yang dibuat.

NASIONALISME DAN PATRIOTISME

to be continued....ntah ble ntah

p/s: pengalaman saya di Kisas mungkin bercampur dengan pengalaman semasa F4 & F5

Thursday, April 24, 2008

Kaitan Agama dan Sains

Satu hari, saya 'tertengok' sebuah cerita Barat. Bukan daripada awal. Cuma saja-saja buka saluran AXN masa cerita ni dah nak habis.

Apa yang saya nak ulas ialah sedikit babak dalam cerita tersebut.

Tengah mereka(watak ayah, abang dan adik) makan malam bersama, tiba-tiba mereka berbincang tentang kaitan sains dan agama. Si Abang berkata bahawa orang(yang seagama dengan mereka kot) akan menerima agama sebagai agama, tidak ada masalah jika bercanggah dengan sains. Maksudnya ajaran atau fahaman yang dipercayai dalam agama mereka itu bersifat suci daripada kesalahan atau lebih tepat, tidak perlu @ tidak boleh dipertikai walau bercanggah dengan apapun.

Kemudian, Si Adik pula memberi pandangan. Sains tidak memerlukan agama untuk 'betul'. Maksudnya lebih kurang macam yang di atas, cuma berbeza daripada segi subjek sahaja. Lalu dia pun keluarkan contoh seorang saintis(Galileo kot) yang dihukum kerana mengatakan bahawa Matahari tidak mengelili Bumi. Kerana dianggap bertentangan dengan ajaran agama masyarakat yang menganggap Bumi sebagai pusat alam.

Kemudian, Si Ayah berkata bahawa dia tidak berminat dengan tajuk itu, lalu segera berhenti makan. Kemudian, blah.

Diorang punya conversation tamat kat situ, just like that.

Sayapun berfikir, apa kaitan agama mereka dan kehidupan mereka sebenarnya? Macamlah agama itu satu kepercayaan yang memang karut. Memang salah, jadi jangan dipertikai, ikut dan percaya sahaja.

Haha, nak tergelak pun ada...Rasa pelik pun ada...itu je lah...malas nak tulis panjang-panjang...rasanya dah cukup untuk difahami...

Wallahu A'lam

Sunday, March 23, 2008

Meniru?

Semasa saya menuntut di sekolah rendah dahulu, saya dan beberapa rakan yang lain akan meniru hampir dalam setiap ujian. Kami kebiasaannya akan berbincang sesama kami untuk mendapatkan jawapan yang betul. Namun, apabila tiba waktu UPSR, saya tidak pula meniru. Mungkin kerana bimbang akan ditangkap oleh pengawas pada waktu itu.

Pada hemat saya, kita perlu mengubah persepsi terhadap amalan ini yang menganggapnya sebagai perkara biasa, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah agama. Satu peristiwa yang membuatkan saya berhenti daripada terus meniru adalah apabila seorang guru saya berkata. "Kalau kamu meniru dalam peperiksaaan, dan kamu cemerlang, maka keputusan kamu itu adalah satu penipuan". Kemudian dia menyambung lagi."Jadi, bila kamu mendapat pekerjaan dengan keputusan yang berdasarkan penipuan itu, adakah hasil yang kamu dapat itu halal?" Saya terfikir sebentar. Sejak dari peristiwa itu, saya sudah serik untuk meniru lagi. Saya tidak 'mengatakannya' haram, tetapi pasti keberkatannya akan terjejas teruk.

Saya rasa agak terkilan apabila ada segelintir guru yang seakan-akan menggalakkan pelajarnya meniru dalam peperiksaan(tak ramai sebab saya pernah jumpa sekali sahaja). Saya tidak lihat situasi ini dalam peperiksaan dalaman, tetapi kadang kala wujud dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR, malah SPM. Mungkin galakan meniru tersebut adalah secara tidak langsung seperti "Kamu janganlah lokek, kongsilah sedikit dengan rakan sebelah". Kalau tidakpun,"Jeling-jelinglah jawapan kawan sebelah kamu kalau tidak tahu jawapan". Jika tidak guru yang galakkan, kadang-kala pengawas peperiksaan sendiri yang menunjukkan jawapan. Kemudian, ada antara mereka yang memberi alasan, "Nak bantu orang Melayu", "Orang lain pun dapat, apa salahnya tolong sikit", "Ni kira rezeki, sesiapa yang tidak dapat tu tidak ada rezekilah".

Adakah mereka hanya dapat melihat yang zahir sahaja? Mungkin mereka tidak sedar atau buat-buat tidak sedar perkara yang mereka lakukan ini salah. Pastinya akan memberi kesan negatif. Adakah kejayaan itu adalah kecemerlangan dalam peperiksaan? Bukankah matlamat untuk mendidik peribadi seseorang itu lebih bernilai daripada kecemerlangan dalam peperiksaan yang hanya penipuan. Saya harap kita semua dapat berfikir sejenak tentang hal ini. Ianya bukan sahaja menyalahi hukum manusia, malahan menyalahi hukum Allah!

Sifat dalam diri manusia sangat sukar untuk diubah. Jika sejak kecil lagi mereka dididik untuk mengabaikan kejujuran, siapakah yang ingin mengubahnya? Kesannya boleh dilihat apabila mereka dewasa. Masalah penyelewengan tanggungjawab selalu kedengaran hari ini. Sudah ramai orang yang terperangkap dalam rasuah. Saya tidak katakan bahawa meniru dalam ujian merupakan punca utama, tetapi adalah asas pembinaan kepada sikap tidak jujur dan amanah. Kerana amalan ini dilakukan oleh pelajar, mungkin sejak kecil.

Cuba anda bayangkan keadaan seorang individu yang ejak di banku sekolah rendah lagi meniru dalam ujian. Kemudian gurunya sendiri seperti menggalakkan perlakuan tersebut. Ditambah lagi dengan orang sekeliling yang mengabaikan nilai kejujuran. Apabila dia membaca surat khabar, banyak ulasan mengenai msalah pecah amanah dan rasuah. Apakah yang akan tertanam dalam fikirannya? Mungkin mereka boleh bersikap jujur lagi kerana perkara tersebut adalah fitrah dan sememangnya dipesan oleh ibu bapa dan guru mereka. Walaupun begitu, rendahkah peratus akan tertanamnya sikap sambil lewa dan tidak jujur dalam diri mereka? Apapun, apa yang saya tuliskan ini hanya sekadar teori yang saya fikirkan sendiri berdasarkan pengalaman saya.

Wallahu A'lam

Friday, February 29, 2008

DIdikan

Pada suatu petang, saya berada dalam sebuah kereta bersama ibu dan kakak. Kami dalam perjalanan balik ke rumah pada ketika itu. Kakak saya baru sahaja menjadi guru j-QAF di sebuah sekolah rendah. Sedang memandu, kakak saya menceritakan sedikit pengalamannya di sekolah barunya itu.

Terdapat dalam enam pelajar tahun 1 yang ibu bapa mereka temankan di sekolah tersebut. Ada yang menunggu di kantin dan ada juga di sebelah bilik darjah anak mereka. Ada ketikanya apabila nama anak mereka dipanggil guru, ibu atau bapa mereka yang menunggu di luar akan bangun menjenguk. Bukan hanya pada hari pertama persekolahan, tapi pada setiap hari persekolahan.

Kemudian saya terfikir.

Apakah sebenarnya yang ibu bapa pelajar tersebut mahukan?

Mungkinkah dengan perbuatan tersebut anak mereka dapat apa-apa manfaat?

Tetapi, apabila saya fikirkan, saya tidak temui kebaikan yang jelas. Pada saya, perbuatan tersebut akan lebih membawa kesusahan daripada kebaikan.

Adakah mereka tidak mahu anak mereka belajar berdikari? Bukankah alam persekolahan merupakan satu tempat yang baik untuk tujuan pembangunan insan?

Ataupun, adakah mereka tidak yakin dengan guru-guru di sekolah? Bimbang jika anak mereka 'didera'.

Bukankah perbuatan tersebut boleh merencatkan atau paling kurang mengganggu pembelajaran dan pendidikan anak mereka di sekolah?

Tidaklah saya katakan bahawa perkara ini beri kesan dalam masa yang singkat.

Apapun, saya lebih berminat untuk mempersoalkan kerelevanan perbuatan ibu bapa pelajar tersebut. Sebab kadang kala kita berjumpa dengan ibu bapa yang merungut dengan sikap atau keburukan anak-anak mereka. Walaubagaimanapun, ada antara mereka yang lebih berminat membiarkan atau mengharap sahaja anak mereka berubah sendiri.

Masa kecil, mereka kata "budak kecil memang macam tu, nanti dah besar berubahlah".

Masa besar, mereka kata "dah besar, pandai-pandailah dia fikir sendiri".

Bila pula masanya mereka didik anak mereka?

Namun bergitu, masih ramai pula ibu bapa yang menganggap bahawa untuk mendidik, mereka perlu marah. Beri hukuman seperti merotan jika anak mereka melakukan kesalahan.

Pada saya, satu aspek yang paling penting dalam pendidikan bukanlah hukuman tetapi penerangan (bukan hukuman tidak perlu). Perlu diberitahu kepada anak-anak mereka tentang kesalahan mereka dan apa yang perlu diperbetulkan. Bukan hanya mengambil sikap bahawa anak mereka itu akan faham sendiri apabila dihukum.

Perlu diingati bahawa cara anak-anak berfikir adalah berbeza dengan ibu bapa yang sudah matang. Ibu bapa dapat memahami bahasa 'isyarat' dengan lebih baik. Kadang kala anak-anak tidak dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan oleh ibu bapa mereka.

Contohnya, seorang bapa memukul anaknya apabila anaknya itu tidak mahu ke sekolah. Anak tersebut dimarahi dan dipaksa untuk pergi juga ke sekolah. Tetapi, tiada penjelasan tentang sebab dia perlu berbuat begitu. Jadi, anak tersebut berfikir yang dia perlu ke sekolah kerana dipaksa oleh ayahnya. Bukan kerana dia perlukan pendidikan.

Walaubagaimanapun, tidaklah anak-anak boleh dimanjakan sangat, pada waktunya perlu juga dipaksa, dimarahi dan dihukum. Tetapi pada masa yang sesuai. Saya tidak bersetuju dengan sikap memanjakan sangat anak-anak. Sehinggakan ada antara ibu bapa yang menyaman guru yang 'mendera' anak mereka. Jika ibu bapa sendiri tidak hormat guru, bagaimana pula anak-anak mahu menghormati guru? Sehinggakan mereka lupa bahawa guru tersebut juga merupakan ibu atau bapa. Tiada siapa lagi yang menghiraukan soal keberkatan.





Sistem pendidikan 7 tahun (3 fasa) .


Semasa 1-7 tahun, ibu bapa menjadi rakan sepermainan anak-anak. Nilai murni perlu diterapkan semenjak waktu ini. Seperti sikap berkongsi, beralah, kerjasama, dll.

Semasa 8-14 tahun, ibu bapa mendidik anak-anak. Pada ketika ini, anak-anak perlu diajar, dididik, ditegur jika tersilap, dan dihukum.

Semasa 15-21 tahun, ibu bapa berkawan dengan anak-anak. Anak-anak perlu diberi ruang berfikir sendiri. Bukan ibu bapa tidak berperanan, cuma lebih bersikap sebagai tempat rujuk dan pendorong.



Cukuplah setakat ini. Harap maaf segala ketelanjuran...

Powered By Blogger
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template