Thursday, January 31, 2008

Seni Khat

Saya sangat meminati seni khat atau kalligrafi arab. Antara lapan orang adik-beradik saya, saya punyai dua abang yang pandai menulis khat. Jadi, sebelum saya tahu apa itu khat, sudah tertanam sedikit perasaan untuk mempelajarinya. Alhamdulillah saya dapat menyambung pelajaran di sebuah sekolah agama kerajaan negeri(SMAKJ) di Johor. Seni khat adalah salah satu daripada madah SMRA, namun apabila saya memasuki sekolah tersebut, Jabatan Agama Johor sudah hazafkannya daripada madah perperiksaan. Mungkin ada sebab yang menjadikannya suatu yang perlu. Saya tidak mahu mengulasnya di sini.

Walaubagaimanapun, saya gembira kerana madah Seni Khat masih ada dalam jadual pembelajaran(walaupun hanya 1 atau 2 masa setiap minggu). Oleh kerana waktu pembelajaran yang sangat singkat, saya lebih merujuk buku kaedah seni khat untuk mempelajarinya. Teringat saya pada sebab yang menjadikan saya sangat berminat untuk mendalami seni khat pada ketika itu. Saya dapat membuat ekor huruf waw nasakh tanpa melukisnya. Hahaha, lucu betul apabila saya ketika itu merasakan yang sayalah yang paling pandai menulis khat dalam banyak-banyak rakan yang lain. Maklumlah, semua tidak pernah belajar khat dan seingat saya tiada satupun antara mereka yang boleh saya jadikan guru. Hal ini berbeza dengan 'batch-batch' lain yang sudah ada yang pandai.

Walaupun kelakar, namun keadaan itulah yang menaikkan semangat saya untuk mendalami ilmu seni khat. Tambahan pula, apabila saya mewarisi buku khat karya Mustafa Saad daripada abang saya. Saya rasa malu untuk mempelajarinya ketika berada di dalam kelas kerana saiznya yang agak besar(originallah katakan). Sayapun tidak tahu mengapa, tetapi saya memang sangat bersemangat untuk mempelajari seni khat pada ketika itu(hingga kini) walaupun rakan-rakan yang lain sudah tidak hiraukannya lagi. Kecuali dua-tiga orang rakan saya.

Namun, apabila tiada guru yang rasmi untuk mengajar, kejap-kejap rasa bosan itu muncul. Maklumlah, rakan-rakan yang lain nampak tidak berminat untuk belajar dan saya rasa hanya saya seorang sahaja yang mempelajatinya dalam kelas(atau prep). Saya sangat pemalu, jadi saya tidak meminta abang-abang senior untuk mengajar, lagipun saya tidak beberapa rapat dengan mereka. Antara yang terkenal pada masa itu, Abg. Effy Saiful, Abg. Anuar Iberahim, Abg Faiz, Abg. Azhari, Abg. Baihaqi, dan beberapa lagi yang saya sudah lupa nama mereka.

Teringat lagi, akibat fanatiknya saya dalam seni khat, rakan-rakan saya selalu menegur kerana saya selalu berlatih menulis khat walaupun ketika itu PMR sudah sangat hampir. Sampaikan pelajar perempuan dalam kelas saya juga ada yang menegur saya kerana selalu sangat menulis khat. Kemudian, ada seorang ustaz meminta saya menghasilkan banner dalam tulisan jawi. Oleh sebab rakan-rakan saya yang lain tidak tahu menulis khat, jadi saya buat banner tersebut seorang diri. Mungkin kerana tidak pernah(agaknya) buat banner sebelum itu, saya mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya. Sehinggakan seorang pengawal sekolah yang kenal dengan ayah saya menegur saya. Kerana setiap malam dia melihat saya menyiapkan banner tersebut walaupun PMR sudah dekat.

Saya sangat gembira mempelajari seni khat. Saya juga pelik kerana saya yang terkenal dengan tulisan cakar ayam saya, boleh komited mempelajarinya. Sejak daripada sekolah rendah sehingga tingkatan lima, guru-guru saya selalu menegur tulisan saya. Oleh sebab kekerasan tangan dan ketidaksenian diri saya, saya terpaksa berlatih lebih untuk memahirkannya. Pada ketika itu, saya gunakan pen khat yang sudah siap dengan dakwat, bukannya buluh atau resam. Jadi, seingat saya, apabila saya memasuki tingkatan tiga sahaja, sudah lebih 20 batang pen khat yang sudah kehabisan dakwat dalam koleksi yang saya simpan. Yalah, saya tiada guru yang mengajar saya bagaimana hendak menggunakan handam.

Itulah sedikit sebanyak sejarah bagaimana saya mempelajari ilmu seni Islam yang bernilai ini.

Monday, January 28, 2008

Penyakit Hati....(Pengenalan)

Jika pada suatu hari, kita dapati kereta yang kita pandu mati dengan tiba-tiba, pasti kita tahu bahawa kereta tersebut sedang mengalami kerosakan. Kalau tidak keretapun, apa-apa peralatan elektronik di rumah kita yang tidak dapat berfungsi lagi, apabila dihidupkan sudah tidak dapat beroperasi. Kita dengan segera dapat mengesan bahawa ada masalah dengan peralatan tersebut. Bukan kita tahu apakah kerosakannya(kecuali orang yang arif), tetapi kita sedar ada kerosakan padanya.

Kemudian pada suatu hari, kita dapati tangan kita sudah tidak mampu lagi untuk menyuap makanan ke dalam mulut. Pastinya kita sedar bahawa tangan kita sudah rosak(atau yang lebh tepat, tidak dapat berfungsi). Kita pasti dapat mengesan masalah yang kita hadapi jika pada suatu hari, kita tidak dapat mendengar, merasa ataupun kita tidak dapat melihat lagi sebaik sahaja bangun daripada tidur.

Jika tidakpun, apabila kita merasa sakit seperti demam, sakit perut, muntah-muntah, ataupun rasa sakit pada mana-mana anggota badan, kita pasti mengetahui bahawa ada masalah dalam diri kita. Sebagai manusia yang normal, kita pasti akan berusaha untuk mencari penawarnya. JIka penyakit itu serius, mengkin kita akan terus berjumpa dengan doktor. Tetapi, bagaimana pula jika kita menghidap penyakit hati? Bukannya tiada orang yang menghiraukannya, tetapi tidak begitu ramai.

Anda pasti bersetuju jika saya katakan bahawa barang yang tidak dapat memenuhi matlamatnya diciptakan sudah rosak. Jika peti sejuk sudah tidak mampu untuk menyejukkan makanan, maka ia sudah rosak. Atau jika kereta sudah tidak boleh bergerak, pasti sudah rosak. Dan jika seseorang itu tidak dapat berfikir bagaimana untuk menjaga dirinya, maknanya akalnya sudah rosak(kecuali kalau masih belun pandai berfikir seperti bayi).

Sekarang cuba fikirkan, apakah fungsi atau matlamat hati diciptakan. Pastinya untuk merasa sifat belas kasihan dalam diri, untuk merasa takwa kepada Allah, untuk merasa malu untuk melakukan kesalahan. Cuba fikirkan pula betapa ramai manusia yang tiada rasa belas kasihan dalam diri mereka. Betapa ramai manusia yang berani mencabar kuasa Allah, dan betapa ramai pula manusia yang melakukan kesalahan dengan rasa bangga.

Apabila barang kita rosak, kita akan cuba untuk baikinya(jika perlu). Jika kita menghadapi penyakit, kita akan cuba untuk mencari penyembuhnya. Walaupun penyakit yang mustahil untuk diubatipun, kita akan cuba untuk mengurangkan rasa sakit atau kesan penyakit tersebut terhadap jasad kita. Namun, jika hati kita yang rosak, tidak ramai yang ambil peduli. Tidak ramai yang cuba mencari penawar, tidak ramai yang sedar atau tahu siapakah doktor kepada pemyakit hati tersebut. Adakah patut kita katakan yang hati kita ini tidak penting? Atau mungkinkah kita sememangnya tidak perlukannya dalam diri kita?

Penyakit hati sangat berbahaya kerana ianya adalah penyakit batin. Kadang kala kita tidak sedar. Sebagai contoh, penyakit sangka buruk terhadap orang lain dan panas baran tidak kene tempat. Hinggakan kita tidak dapat menerima teguran orang lain terhadap diri kita kerana kita tidak sedar akan kesalahannya. Contoh yang lain pula, adanya rasa ujub atau riak dalam diri. Sememangnya kita sedar apabila hadirnya perasaan tersebut dalam diri, namun ramai yang menganggapnya sebagai perkara biasa. Hal ini demikian kerana mungkin agak sukar untuk membuangnya, atau tiada sesiapa yang tahu dan mereka jadi 'malas' untuk ambil kisah terhadap perkara tersebut. Jadi, kita rasa bahawa masalah tersebut layak untuk diketepikan ianya satu kebiasaan. Dan lama-kelamaan, ianya sudah seperti lumrah dalam hidup kerana sudah sebati dengan diri.

Sampai sini sajalah saya menulis pada hari ini. Nantikan sambungannya pada edisi akan datang...

Wednesday, January 23, 2008

Jahiliyah...(1)

Sejak kecil lagi, Muhammad S.A.W. sangat terkenal dengan sifatnya yang sangat jujur dan menepati janji. Cuba bayangkan sejenak keadaan zaman jahiliah sebelum baginda diutuskan menjadi rasul. Keadaan yang sangat teruk. Orang yang dapat membezakan antara hak dan kebatilan seakan-akan sudah pupus. Golongan bangsawan melayan hamba-hamba mereka seperti kanak-kanak bermain dengan alat permainan mereka. Hartawan pula sibuk mengumpul harta seperti tiada benda lain yang lebih bernilai. Kerosakan akhlak dan kemerosotan nilai harga diri sudah parah. Tidak cukup anak perempuan ditanam hidup-hidup, wanita pun boleh diwarisi seperti harta benda yang lain. Arak, zina, rompak, bunuh, dan semua jenayah adalah satu lumrah. Mengikut lumrah hutan, 'yang kuat membaham yang lemah' dan tiada peraturan yang lain. Betul-betul primitif.

Kemudian, kita bayangkan pula keadaan Muhammad S.A.W. pada ketika itu. Baginda disanjung, sangat dihormati oleh semua lapisan masyarakat jahiliah tidak kira bangsawan atau hamba. Baginda sangat dikasihi oleh masyarakat. Baginda jugalah yang menyelesaikan perbalahan antara ketua-ketua kabilah Arab untuk meletakkan batu Hajarul Aswad. Baginda sangat ihsan terhadap orang fakir miskin. Walaupun baginda seorang anak yatim, baginda sangat pakar dalam perniagaan. Sejak 20an lagi, baginda sudah diberi kepercayaan penuh untuk membimbing kafilah perdagangan Siti Khadijah R.A.. Pada ketika itu, baginda punyai semua. Baginda ada harta dan nama yang sangat mulia dalam masyarakat sebagai seorang yang digelar al-Amin.

Masyarakat jahiliah mempercayai Muhammad S.A.W. secara total dan ini terbukti apabila ramai yang berjumpa dengan baginda meminta supaya 'tolong' dijagakan harta mereka semasa berpergian untuk berniaga atau pergi ke tempat yang jauh. Mereka terpaksa mencari orang yang boleh dipercayai kerana pada zaman itu, tiada jaminan keselamatan rumah mereka daripada diceroboh pencuri. Tiada rumah yang kukuh daripada dipecah masuk, tiada mangga untuk mengunci pintu yang selalu terbuka.

Selepas itu, kita telusuri pula kisah dakwah baginda. Kisah dakwah selepas Allah mewahyukan dakwah secara terbuka kepada baginda. Tanpa berlengah, baginda mengumpulkan semua ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang rapat di bukit safa. Kemudian,

Ibnu Abbas r.a. telah menceritakan bahawa pada suatu hari Nabi s.a.w. telah naik ke Bukit Safa, lalu beliau berseru; “Hai orang-orang berkumpullah di pagi hari ini.” Lalu orang-orang Quraisy berkumpul mengerumuninya. Nabi s.a.w. melanjutkan pembicaraannya; “Bagaimana pendapat kalian, jika aku beritakan kepada kalian bahawasanya musuh datang menyerang kalian di waktu pagi ini, atau menyerang kalian pada waktu petang nanti, apakah kalian akan mempercayaiku?” Mereka menjawab; “Tentu saja kami percaya kepada kamu.” Nabi s.a.w. melanjutkan pembicaraannya; “Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi ingatan kepada kalian di atas azab yang keras.” Lalu Abu Lahab menjawab; “Celakalah kamu ini, apakah untuk ini kamu mengumpulkan kami?”

Eh, bukankah sebentar tadi Muhammad S.A.W. sangat dipercayai? Tiada satu kalimahpun yang akan disangkal kesahihannya oleh orang lain, mereka sepatutnya sangat mempercayai baginda. Mengapakah peristiwa diatas berlaku? Cuba kita fikirkan sebentar, apakah yang dimahukan oleh Abu Lahab? Mungkinkah hanya kerana telah ditakdirkan untuk menjadi musuh utama baginda? Ataupun mungkinkah kerana musuh Allah itu yakin bahawa anak saudaranya sedang menipu ataupun sudah gila?

Sudah pastinya tidak. Jadi, ulangi semula pembacaan anda. Cuba carikan apakah sebabnya. Insya-Allah lain kali, saya akan lengkapkan tulisan ini.

Sedikit Peringatan

Di sini, ada beberapa pesanan. Pesanan untuk anda dan untuk saya:

1.Apabila kamu mendengar azan, segeralah bangun sembahyang serta-merta walau bagaimana keadaan kamu sekalipun.

2. Bacalah Al-Quran atau tatapilah ilmu atau pergilah mendengar perkara yang baik atau
berzikir. Janganlah sama sekali membuang masa dalam perkara sia-sia.

3. Berusahalah sedaya-upaya untuk bertutur dengan Bahasa Arab kerana ia merupakan satu satu syiar islam.

4. Janganlah banyak berdebat dalam apa perkara pun kerana pertengkaran kosong tidak membawa kepada sebarang kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Jangan banyak bergurau kerana umat yang berjihad sentiasa bersungguh dan serius dalam setiap perkara.

7. Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar.

8. Jauhi daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan dan jangan bercakap melainkan perkara yang mendatang kebaikan.

9. Berkenalanlah dengan setiap rakan yang saudara tidak di minta berbuat demikian kerana asas-asas dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenalan.

10. Kewajipan lebih banyak dari waktu, oleh itu bantulah rakanmu untuk memanfaatkan waktunya dan jika saudara berurusan, maka singkatkanlah masa perlaksanaannya.

Friday, January 18, 2008

Ucapan Takziah

Belum lagi genap setahun saya meninggalkan alam persekolahan, sudah benyak perkara yang berlaku. Banyak musibah yang telah menimpa rakan-rakan sepersekolahan saya dahulu. Saya begitu tersentuh hati mendengar berita kematian ibu bapa rakan saya. Saya tidak dapat gambarkan bagaimana perasaan mereka melalui ujian yang berat sebegini.

Rakan yang saya maksudkan ialah Saudari Maryam Fadhillah yang kehilangan ibunya lewat tahun lepas dan saudara Izzat Md. Nor yang kehilangan ayahnya pada bulan ini. Hanya ucapan takziah mampu saya berikan kepada kamu berdua. Tabahkan hati. Anggaplah ianya satu ujian daripada Allah untuk menguji keimanan hambanya. Jika kamu reda, maka ganjaran Allah sangatlah besar. Jangan salahkan takdir, kerana ianya ibarat kamu menyalahkan tuhan kamu sendiri.

Saya ingin memohon kemaafan jikalau tulisan saya ini sedikit sebanyak melukakan hati kamu berdua. Mungkin saya terlalu jahil dalam berfkir sehinggakan ada dalam tulisan ini sesuatu yang tidak sepatutnya ada. Tetapi, saya ikhlas untuk berkongsi rasa sedih bersama kamu berdua. Sesungguhnya kita masih lagi bersaudara.

Salam takziah saya ucapkan.

Thursday, January 17, 2008

Selamat Hari Lahir....(1)

Pada hari ini, umur saya sudah genap 18 tahun. Ibu saya pernah kata yang saya lahir pada pukul 5.30 pagi 17 Januari 1990. Tambahnya lagi, semua adik-beradik saya lahir pada waktu mentari tidak kelihatan(antara malam atau awal pagi), kecuali abang saya yang ke-5, Fahmi yang lahir pada awal petang. Mungkin ada kelainan dalam diri abang saya tersebut yang tidak saya ketahui.

Dalam itu, satu perkara yang menjadikan saya kagum ialah ibu saya. Ibu saya boleh menyebutkan satu per satu waktu kelahiran anak-anaknya dari yang pertama, hingga yang kelapan! Mungkin ianya adalah satu perkara biasa jika ibu saya masih muda dan kelahiran anak-anaknya masih segar dalam ingatan, namun dia bakal menyambut kelahiran ke-53 pada Oktober tahun ini. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai naluri seorang ibu. Selalu ingat akan anaknya, tetapi anaknya tidak pasti lagi begitu.

Sambutan ulang tahun hari lahir adalah satu perkara yang asing dalam keluarga saya. Bukan hanya sambutan, ucapan 'Selamat Hari Lahir' juga merupakan satu perkara yang tidak popular dalam senarai amalan ahli famili saya. Seingat saya, saya pernah mendapat hadiah sempena hari lahir hanya ketika saya masih kecil. Itupun, mungkin sekali dua sahaja. Mungkin kebiasaan ini jugalah yang menyebabkan saya tidak begitu peduli jika hari ulang tahun kelahiran saya sunyi seperti kebiasaan hari-hari yang lain. Saya juga sangat kekok memilih hadiah untuk diberikan kepada orang lain kerana saya sangat tidak biasa melakukannya. Walaupun begitu, jauh di sudut hati saya, saya juga ingin diraikan. Apabila saya menerima ucapan 'Selamat Hari Lahir', saya merasa sungguh gembira dan seperti sangat dihargai.

Apapun, di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan 'Selamat Hari Lahir' kepada sesiapa sahaja yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada hari ini.

Wednesday, January 16, 2008

Pembinaan

Saya mahu meletakkan 'benda-benda' sampingan dalam blog ini. Saya lihat orang lain ada yang letak pengira pengunjung, pengira hari, shoutbox, kalau tidak pun, jam, jadi saya juga teringin untuk meletakkannya dalam blog kepunyaan saya. Walaubagaimanapun, saya tidak tahu bagaimana cara untuk melakukannya kerana saya membina blog ini seorang diri. Dengan tidak mempunyai asas atau pernah mengikuti kursus komputer(kecuali di sekolah dahulu walaupun saya rasa tidak berkesan), saya ingin juga mencuba membinanya dengan merujuk kepada beberapa panduan yang telah abang saya sediakan(walaupun tidak berapa faham). Walaupun agak susah untuk melakukan perkara yang tidak pernah saya lakukan dan tidak tahu bagaimana untuk dilakukan, saya rasa gembira kerana saya sedang belajar tentang sesuatu yang baru. Mungkin orang akan ketawakan saya kerana jahilnya saya dalam hal ini, ditambah lagi dengan ayat dalam tulisan yang terabur dan tidak gramatis, tetapi bagi saya, saya tiada masalah dengan itu. Bagi menambah baik lagi blog ini, saya perlu sesuatu yang lebih dan saya akan dapatkannya.

Tuesday, January 15, 2008

Yang Pertama...

Assalamualaikum,

Saya membina blog ini untuk beberapa tujuan, tetapi saya fikir tidak perlulah saya nyatakan semuanya di sini. Sementara saya masih ada kelapangan masa pada waktu ini, eloklah fikir saya untuk belajar sedikit sebanyak tentang cara membina blog yang baik. Maklumlah, baru habis SPM. Daripada membuang masa, lebih baik saya penuhinya dengan perkara yang bermanfaat dan saya fikir membina sebuah blog adalah satu perkara yang baik. Saya dapat idea ingin membina blog ini daripada abang saya, Zaki yang sudah lama membina blognya sendiri selepas berangkat ke bumi Mesir. Saya agak berminat untuk menulis, tetapi saya tidak pandai, jadi biarlah blog ini menjadi permulaannya.

Powered By Blogger
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template