Friday, February 29, 2008

DIdikan

Pada suatu petang, saya berada dalam sebuah kereta bersama ibu dan kakak. Kami dalam perjalanan balik ke rumah pada ketika itu. Kakak saya baru sahaja menjadi guru j-QAF di sebuah sekolah rendah. Sedang memandu, kakak saya menceritakan sedikit pengalamannya di sekolah barunya itu.

Terdapat dalam enam pelajar tahun 1 yang ibu bapa mereka temankan di sekolah tersebut. Ada yang menunggu di kantin dan ada juga di sebelah bilik darjah anak mereka. Ada ketikanya apabila nama anak mereka dipanggil guru, ibu atau bapa mereka yang menunggu di luar akan bangun menjenguk. Bukan hanya pada hari pertama persekolahan, tapi pada setiap hari persekolahan.

Kemudian saya terfikir.

Apakah sebenarnya yang ibu bapa pelajar tersebut mahukan?

Mungkinkah dengan perbuatan tersebut anak mereka dapat apa-apa manfaat?

Tetapi, apabila saya fikirkan, saya tidak temui kebaikan yang jelas. Pada saya, perbuatan tersebut akan lebih membawa kesusahan daripada kebaikan.

Adakah mereka tidak mahu anak mereka belajar berdikari? Bukankah alam persekolahan merupakan satu tempat yang baik untuk tujuan pembangunan insan?

Ataupun, adakah mereka tidak yakin dengan guru-guru di sekolah? Bimbang jika anak mereka 'didera'.

Bukankah perbuatan tersebut boleh merencatkan atau paling kurang mengganggu pembelajaran dan pendidikan anak mereka di sekolah?

Tidaklah saya katakan bahawa perkara ini beri kesan dalam masa yang singkat.

Apapun, saya lebih berminat untuk mempersoalkan kerelevanan perbuatan ibu bapa pelajar tersebut. Sebab kadang kala kita berjumpa dengan ibu bapa yang merungut dengan sikap atau keburukan anak-anak mereka. Walaubagaimanapun, ada antara mereka yang lebih berminat membiarkan atau mengharap sahaja anak mereka berubah sendiri.

Masa kecil, mereka kata "budak kecil memang macam tu, nanti dah besar berubahlah".

Masa besar, mereka kata "dah besar, pandai-pandailah dia fikir sendiri".

Bila pula masanya mereka didik anak mereka?

Namun bergitu, masih ramai pula ibu bapa yang menganggap bahawa untuk mendidik, mereka perlu marah. Beri hukuman seperti merotan jika anak mereka melakukan kesalahan.

Pada saya, satu aspek yang paling penting dalam pendidikan bukanlah hukuman tetapi penerangan (bukan hukuman tidak perlu). Perlu diberitahu kepada anak-anak mereka tentang kesalahan mereka dan apa yang perlu diperbetulkan. Bukan hanya mengambil sikap bahawa anak mereka itu akan faham sendiri apabila dihukum.

Perlu diingati bahawa cara anak-anak berfikir adalah berbeza dengan ibu bapa yang sudah matang. Ibu bapa dapat memahami bahasa 'isyarat' dengan lebih baik. Kadang kala anak-anak tidak dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan oleh ibu bapa mereka.

Contohnya, seorang bapa memukul anaknya apabila anaknya itu tidak mahu ke sekolah. Anak tersebut dimarahi dan dipaksa untuk pergi juga ke sekolah. Tetapi, tiada penjelasan tentang sebab dia perlu berbuat begitu. Jadi, anak tersebut berfikir yang dia perlu ke sekolah kerana dipaksa oleh ayahnya. Bukan kerana dia perlukan pendidikan.

Walaubagaimanapun, tidaklah anak-anak boleh dimanjakan sangat, pada waktunya perlu juga dipaksa, dimarahi dan dihukum. Tetapi pada masa yang sesuai. Saya tidak bersetuju dengan sikap memanjakan sangat anak-anak. Sehinggakan ada antara ibu bapa yang menyaman guru yang 'mendera' anak mereka. Jika ibu bapa sendiri tidak hormat guru, bagaimana pula anak-anak mahu menghormati guru? Sehinggakan mereka lupa bahawa guru tersebut juga merupakan ibu atau bapa. Tiada siapa lagi yang menghiraukan soal keberkatan.





Sistem pendidikan 7 tahun (3 fasa) .


Semasa 1-7 tahun, ibu bapa menjadi rakan sepermainan anak-anak. Nilai murni perlu diterapkan semenjak waktu ini. Seperti sikap berkongsi, beralah, kerjasama, dll.

Semasa 8-14 tahun, ibu bapa mendidik anak-anak. Pada ketika ini, anak-anak perlu diajar, dididik, ditegur jika tersilap, dan dihukum.

Semasa 15-21 tahun, ibu bapa berkawan dengan anak-anak. Anak-anak perlu diberi ruang berfikir sendiri. Bukan ibu bapa tidak berperanan, cuma lebih bersikap sebagai tempat rujuk dan pendorong.



Cukuplah setakat ini. Harap maaf segala ketelanjuran...

2 maklum balas:

Mohd Zaki M.Noor said...

siapa kata tiada kebaikan yang jelas? hehehe, ada...

kebaikan yang jelas adalah, sikap ambil berat, kasih sayang, timbang rasa... cuma, kalau semua itu berlebih-lebihan, akan timbul keburukan yang jelas...

soalnya, ia berlebih-lebihan atau tidak, akan menjadi persoalan baru.. sebab ada juga ibu bapa yang biarkan anak-anak dia langsung tak dijenguk dari hari pertama masuk sekolah sampai tamat sekolah... itu kebaikan yang jelas atau keburukan yang jelas? hhe... wallahu a'lam, atas segala kebaikan dan keburukan.

hanif_m_noor said...

yela tuh....

kebaikan yang dimaksudkan hanya berkaitan dengan kesan je...rasenye xsame yg mcm angah kate tu...anep kate xjelas sebab kebaikannya x nampak konkrit untuk jd alasan perbuatan tersebut...

mungkin penggunaan istilah atau cara penulisan yang salah dan kabur menyebabkan penyampaian yang kurang berkesan...

tapi, mungkin juga apa yang difikirkan tu salah...tak banyak, sikit...

apapun, thanks la sebab sudi jenguk blog ni...siap bagi komen lagi...

wallahu a'lam

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template