Saya kadang-kadang terdengar orang kata:
"Malaslah aku nak ambil tahu pasal politik. Politik kotor"
"Bosanlah politik ni, semua menipu je lebih"
"Alah, ahli politik, cakap je berapi, buatnya tak juga"
Kalau takpun, bila kita bercakap tentang politik, dia malas nak join sekali, dia kata "Ah, malaslah aku"
Mengikut kefahaman saya, apabila sesiapa sahaja menyebut perkataan 'POLITIK', ianya membawa kepada dua maksud:
- Politik dalam ertikata ilmu, politik bebas nilai, politik yang membincangkan tentang "Iqomatu al-Din wa Siasatu al-Dunya bih" (Makna: Menegakkan agama dan mempolitikkan (mentadbir) dunia dengannya (agama)) (baca sini dan sini)
- Politik dalam ertikata politik kepartian. Kau Umno, kau Pas, kau PKR, kau PR, kau BN.
Dalam perjuangan melaksanakan dan mempertahankan Islam, pastinya kita tak terlepas daripada menjalankan tugas sebagai khalifatullah. Paling kurang, dalam usaha menjaga hak kita daripada diperlakukan sesuka hati oleh pihak penguasa dan pemerintah, kita pastinya akan terlibat dalam politik secara langsung dan tidak langsung. Sudah menjadi tanggungjawab kita mempertahankan hak diri kita sendiri.
Namun begitu, ramai antara kita, khususnya anak muda (yang akan menjadi pemimpin masa akan datang) berasa jengkel dengan perkataan 'POLITIK' ini. Perasaan jengkel ini sudah lama tertanam dalam diri mereka akibat daripada pencabulan kesucian perkataan 'POLITIK' melalui sikap ahli-ahli politik dan keterlampauan ramai manusia dalam memperjuangkan ideologi politik masing-masing (baca: politik kepartian).
Budaya fitnah memfitnah berleluasa dalam kalangan ahli politik. Budaya menabur janji-janji kosong sangat meriah dalam PRU, terutamanya apabila tiba PRK (tengok, betapa banyak janji rasuah untuk rakyat di
P 94). Sampaikan orang kata, "Tak payah la nak percaya kata-kata ahli politik tu, semuanya gila kuasa, dia menangpun kita macam ni juga". Ya, penyakit gila kuasa juga sangat membimbangkan. Kalau ketuanya kata A, dia pun kata A. Kalau ketuanya kata B, dia pun mengikut tanpa bantahan, walaupun (secara logik akal) dia sedar apa yang diperjuangkan itu adalah salah (dari sisi hukum negara mahupun hukum Allah). Alasannya mudah, dia tak mahu dilucutkan jawatan atau disisihkan oleh kepimpinan parti. Silap haribulan, kena tendang la jawabnya. Ini tak masuk lagi cerita politik wang (baca: rasuah). Sampaikan politik jenis ini sudah diiktiraf 'halal' dengan hanya menukar namanya.
Keadaan 'politik kepartian' yang sangat memualkan ini telah mengakibatkan banyak implikasi negatif. Ahli politik dan parti yang ikhlas berjuang untuk rakyat turut terpalit sama, wujudnya golongan yang 'lari' daripada kewajipan berpolitik (bukan politik kepartian) dan anak muda hilang rasa cakna dan tanggungjawab terhadap perjuangan di tanah air sendiri.
Saban hari, melalui pelbagai medium, ulama' kita terus dicaci, difitnah, dilucutkan maruah, diperlakukan sesedap nafsu diri. Tak cukup dengan akhbar (yang kononnya arus perdana), blog-blog, forum-forum dan bermacam macam jenis social network seperti facebook dsb, ramai golongan jahilin agama dan munafiqin yang berpencak didalamnya. Mengeluarkan kata-kata kesat, mencaci dengan perumpamaan yang buruk, dan yang sangat dikesali, ada yang beralasan cintakan agama untuk mencaci ulama' kekasih Allah ini.
Isu Mohd Safuan Hilmi yang mengugut bunuh TGNA dalam facebook (sila klik
sini dan
sini dan
sini) adalah salah satu daripada manifestasi betapa amalan berpolitik (baca: politik kepartian) sudah sangat teruk di negara kita ini. Kalau dahulu orang sangat menghormat tuan-tuan guru, ulama' dan ahli agama, kini, sampai ada yang nak ugut bunuh. Walaubagaimanapun, ini hanyalah satu daripada beribu lagi isu penghinaan terhadap ulama' di Malaysia.
Situasi ini sedang memberitahu kita semua betapa umat Islam khususnya tidak dapat lagi membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Hanya kerana orang tersebut lain parti dengan kita, jadi kita bebas untuk menggunakan apa sahaja taktik untuk menjatuhkan dia. Tidak kiralah orang tersebut ada buat silap atau tidak, yang penting adalah jatuhkan dia!!! Sampaikan orang yang terkenal dengan keikhlasan untuk memperjuangkan Islam turun dijatuhkan sekali.
Segala apa yang saya tampilkan diatas adalah situasi politik kotor akibat amalan politik kepartian yang tempang di negara kita. Namun begitu, sebagai umat Islam yang mukallaf, kita tidak dapat lari daripada memperjuangkan diri kita dan umat manusia yang lain dari sudut politik. Bukanlah saya ingin memaksa sahabat-sahabat semua untuk berpolitik (menjadi ahli politik), kerana lain orang lain bidangnya. Tetapi, kita wajib mempertahankan hak kita. Kita sebagai muslim perlu cakna dengan nasib saudara kita yang lain. Kita sebagai muslim perlu sedar dengan amanah sebagai khalifatullah yang Allah sudah amanahkan kepada kita. Kita sebagai muslim perlu sedar dan turut sama berjuang agar Islam dilaksana dapat dalam negara kita. Kita sebagai muslim perlu sedar yang kita bertanggungjawab menjadikan dunia ini sejahtera untuk semua umat manusia tidak kita agama dan bangsa.
Akhir kata, jangan hanya duduk membatu apabila orang lain (termasuk diri sendiri) ditindas dan hidup dalam suasana kezaliman berleluasa dengan beralasan POLITIK ITU KOTOR...
Wallahu A'lam