Thursday, January 20, 2011

Siri 1: ERA KEGEMILANGAN UMAT ISLAM

Suasana kini dan suasana yang lalu sangat-sangat berbeza. Kalau dulu, zaman Nabi S.A.W. baru nak memulakan taklifan dakwah, ketika itu umat manusia di Makkah sangat-sangat jahil. Jahil dalam ertikata, tiada panduan hidup dan tatacara hidup melainkan nafsu dan adat semata-mata. Kemudian, ketika zaman Nabi S.A.W. berhijrah ke Madinah, pada masa itu, sudah ada sekelompok ramai umat Islam yang mempunyai aqidah Islam yang salimah dan kukuh bersama-sama Rasulullah S.A.W berjuang untuk memartabatkan kalimah Tauhid sepanjang masa.

Kemudian, disambung lagi kegemilangan dan peningkatan kekuatan umat Islam di era Rasulullah menjadi pemimpin dengan siri-siri kemenangan, baik kemenangan dalam pertempuran di medan perang, kemenangan di meja rundingan diplomasi mahupun kejayaan dakwah holistik Rasulullah dan para sahabat kepada masyarakat manusia ketika itu.

Kemudian, pada era selepas Baginda S.A.W wafat, kegemilangan umat Islam disambung lagi dengan cemerlang oleh Khulafa' ar-Rasyidin. Yang pada zahirnya, empayar umat Islam membesar dengan drastik dan Sistem Khilafah Islam pada ketika itu menjadi begitu kompleks dan matang untuk menyediakan sebuah pentadbiran yang cekap, telus dan berintegriti berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Dan yang tersiratnya, pada era ini, keizzahan dan bukti Islam itu praktikal dalam segala sisi kehidupan daripada individu yang satu, kumpulan masyarakat yang berkelompok, negara yang berbudaya masing-masing, sehinggalah kepada sebuah empayar kerajaan (khilafah) yang besar dapat dilihat oleh umat dunia ketika itu.

Kecemerlangan Khulafa' ar-Rasyidin dalam membina tamadun serta peradaban umat Islam disambung pula oleh khalifah-khalifah pada era Umaiyah dan Abasiyah. Pada ketika inilah, berkembangnya pemikiran-pemikiran umat Islam, ulama' pada ketika ini dengan gigih, bertungkus lumus menjawab persoalan-persoalan yang timbul hasil daripada pertembungan antara Tamadun Islam (yang bermula di Tanah Arab) dengan tamadun-tamadun gergasi sejarah ketamadunan dunia seperti Tamadun Rom, Tamadun Parsi dan sebagainya. Dan pada ketika inilah, para ilmuan Islam tidak hanya berlegar dalam Ilmu Islam seperti Syariah, Aqidah dan Tasawwuf serta ilmu-ilmu-ilmu alat yang lain, bahkan mereka sudah ramai yang mendalami dengan hebat dalam Falsafah, Psikologi, Sains dan Teknologi.

Seterusnya, era kegemilangan Ketamadunan dan Peradaban Islam ini diteruskan lagi oleh Empayar Uthmaniyah. Ketika ini, Tamadun Islam dah terlalu sarat dengan pelbagai perkara, daripada perbahasan pokoknya hinggalah ke rantingnya, daripada perbahasan pentadbiran kepada perbahasan ilmunya, daripada perbahasan aqidahnya kepada perbahasan falsafahnya, daripada perbahasan ibadahnya kepada perbahasan akhlaknya, daripada perbahasan politiknya kepada perbahasan sosialnya, daripada perbahasan pendidikan kepada budayanya, daripada perbahasan fizikal kepada perbahasan biologinya; dan kesimpulannya, umat Islam pada ketika itu sudah masuk ke dalam setiap daripada sisi dan penjuru ruang kehidupan manusia.

Sejak daripada bermulanya risalah Tauhid daripada Allah S.W.T. diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. 1400 tahun yang lalu, hinggalah era Empayar Uthmaniyyah lebih 700 tahun yang lalu, Tamadun dan Peradaban Islam sentiasa berkembang pada tahap yang sangat-sangat mengagumkan hinggakan semua orang terpaksa akur dengan kehebatannya. Ketika itu, masyarakat dunia menyaksikan sendiri dengan mata dan setiap panca indera, bagaimanakah yang dikatakan bahawa praktikalnya Islam sebagai ad-Deen (cara hidup) pegangan umat Islam pada ketika itu.

(bersambung...)

0 maklum balas:

Powered By Blogger
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template