1924 menyaksikan satu titik tolak perubahan yang sangat bersejarah buat segenap umat Islam. Kalau sebelum ini, Tamadun Islam mempunyai sejarah kegemilangan selama ribuan tahun yang dapat kita banggakan, kini semua itu sudah berakhir. Bukanlah ingin dikatakan bahawa sebelum titik ini, Tamadun Islam tidak pernah sama sekali terjejas, bukti Tamadun Islam sebelum Uthmaniyah juga banyak kali menghadapi turun naiknya adalah dengan berbilangnya era khilafah; Khulafa' Ar-Rasyidin, Umayyah, Abasiyyah dan Uthmaniyyah (dan berbagai lagi kerajaan-kerajaan Islam kecil). Transisi era yang terhasil daripada berlakunya krisis-krisis, konflik-konflik, perubahan demi perubahan dan berbagai lagi sebabnya. Namun, secara pukul rata, Tamadun Islam daripada zaman Rasulullah ke Umayyah, ke Abasiyyah, hinggalah ke Uthmaniyyah mengalami perkembangan yang sangat baik dan positif walaupun sering kali menghadapi jatuh dan bangun.
Mungkin 1924 ini adalah titik paling hitam dengan jatuhnya Khilafah Islamiyyah yang terakhir, namun, mungkin ramai yang tidak peduli atau mengambil tahu, apakah rentetan sejarah (baca: punca dan sebab) yang menyebabkan titik hitam 1924 ini terjadi. Tidak mungkin tamadun gemilang sepanjang zaman yang dibina ratusan tahun, malah hasil daripada asas kukuh Islam selama ribuan tahun ini dapat dipadam dalam masa sesingkat setahun, atau sebulan, atau seminggu, jauh lagi dalam masa hanya sehari.
Mungkin kita boleh berbangga dengan mengatakan bahawa pada era Khilafah Uthmaniyyah, semua orang tunduk dan patuh pada hokum dan undang-undang Islam. Namun, adakah kita sedar bagaimana sebuah tamadun yang hebat ini runtuh? Selama ratusan tahun, Empayar Barat menyerang Uthmaniyyah dengan siri-siri perperangan Salib. Tetapi, umat Islam pada ketika itu kukuh, hampir mustahil untuk dihapuskan secara fizikal.
Menjadi satu perkara yang maklum, sumber kekuatan umat Islam adalah Aqidah, Iman, pengamalan Syariat dan hubungan dengan Allah S.W.T.. Pada ketika ini, musuh-musuh Islam dengan pengalaman selama ratusan tahun gagal untuk menjatuhkan Tamadun Islam (kalau dapat pun, akan tumbuh kembali ganti yang lain), berusaha pula menjatuhkan Tamadun kita dengan serangan rohani dan mental (baca: ghuzwatul fikr). Umat Islam ketika ini diserapkan dengan ideologi-ideologi sesat dan tempang daripada Barat. Umat Islam ketika ini diseronokkan dengan hiburan-hiburan duniawi. Umat Islam ketika ini diseronokkan dengan harta dan perhiasan-perhiasan dunia, sehinggalah terserap semua ini ke dalam istana khalifah.
Berlebihan dalam hal ehwal keduniaan ini telah tersebar luas pada diri umat Islam, dan dibantu dengan katalis yang paling berkesan pada ketika itu (pada saat genting fasa kejatuhan) dengan Mustafa Kamal Attartuk. Pemerintahan Turki Uthmaniyyah yang berkiblatkan Barat. Memang benar pada ketika ini, Tamadun Barat (baca: pembangunan material) sudah berkembang luas selepas mereka menyingkirkan Institusi Gereja yang mengongkong. Namun, sangat memalukan dan melucukan apabila Tamadun Turki Uthmaniyah yang pada ketika itu pun tidak kurang hebatnya, bertindak meninggalkan agama sendiri, untuk perkara-perkara yang tidak relevan. Pada ketika ini, dibina patung-patung Mustafa Kamal, dihias seluruh kota Istanbul dengan benda-benda yang tidak membantu pada perkembangan tamadun. Sungguh lucu dengan membaca sejarah; ketamadunan dan kemajuan itu hanya akan terbentuk di atas perkataan SEKULAR (baca: asalkan kamu beragama, kamu tidak akan maju).
Pada ketika ini, Khilafah kita memang betul-betul dicorakkan oleh Barat. Kalau sebelum ini Kristian Ortodoks ditolak kerana mengongkong kemajuan Sains dan Teknologi, Islam juga ditolak dengan asbab yang sama (walaupun Islam menggalakkan kemajuan Sains dan Teknologi). Kalau pada ketika itu Imperialis Barat melepaskan jajahan demi jajahan atas dasar memberi keadilan, ruang dan peluang kepada penduduk asalnya hidup mentadbir diri sendiri (walaupun mereka mewariskan legasi sekular dan materialis kepada pewarisnya), khilafah Islam pun turun melepaskan jajahan-jajahannya dengan beralasankan perkara yang sama (walaupun bukan atas dasar keadilan; hanya bermain dengan semangat Nasionalism).
Mungkin kalau sebelum 1924, apabila jatuhnya mana-mana tamadun dan kerajaan Islam, tidak lama selepas itu, umat Islam akan bangkit semula (samada di tempat yang sama atau yang lain), namun, selepas 1924, perkara ini tidak berlaku, malahan terkubur begitu sahaja sehingga sekarang. Anda rasa mengapa??
(bersambung...)
0 maklum balas:
Post a Comment